top of page

Selepas 10 tahun EKVE dibuka dengan tol percuma hingga 30 September

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 29
  • 2 min read
Lebuhraya EKVE  dibuka dengan pemberian tol percuma selama sebulan hingga 30 September
Lebuhraya EKVE dibuka dengan pemberian tol percuma selama sebulan hingga 30 September

Selepas sedekad menanti, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) akhirnya dibuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tol percuma kepada penggunanya bermula pukul 6 pagi esok sehingga 11.59 malam 30 September ini.


Pengumuman itu dibuat selepas sehari tiga wakil rakyat yang mewakili kawasan di jajaran lebuh raya itu iaitu Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan mengesyorkan agar pihak EKVE menawarkan tol percuma dua bulan sebagai ‘gesture of goodwill’ mengenangkan ketidakselesaan yang terpaksa ditanggung rakyat akibat kelewatan projek itu.


"Atas semangat kemerdekaan ini, saya umumkan tol percuma di mana-mana plaza tol EKVE selama 30 hari bermula 6 pagi esok," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dipetik Bernama ketika merasmikan pembukaan EKVE Seksyen Satu di Plaza Tol Ampang hari ini.


Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar


Projek EKVE Seksyen Satu melibatkan jajaran sepanjang 24 kilometer dengan mempunyai empat persimpangan bertingkat iaitu di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang.


Dalam ucapannya Perdana Menteri menggesa supaya pembinaan EKVE Seksyen Dua dipercepat tanpa sebarang kelewatan.


"Kesesakan sudah di tahap maksimum kerana di Kuala Lumpur, di bandar-bandar ini kesesakannya luar biasa, jadi projek-projek itu (pembinaan lebuh raya) harus disegerakan, ikut jadual walaupun ia memakan belanja dan kos yang tinggi.


"Selain perbelanjaan paling tinggi untuk pendidikan dan kesihatan juga ialah kerja raya dan pengangkutan kerana Malaysia sudah jadi destinasi pelancongan tinggi, maka keperluan itu bukan lagi untuk rakyat tempatan malah juga pelancong," kata beliau.


Dalam pada itu, ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan dalam kenyatan menyatakan perasmian lebuh raya itu sudah begitu lama dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan terbabit.


"Mula dibina pada September 2015, EKVE sepatutnya siap pada 2019. Malangnya, akibat pelbagai faktor, EKVE gagal disiapkan mengikut jadual, mengakibatkan pembukaannya tertangguh selama 6-7 tahun.


"Selaku wakil rakyat bagi kawasan Parlimen yang direntasi oleh EKVE, kami bertiga telah membangkitkan pelbagai isu terkait lebuh raya ini terutama kelewatan siap, lanjutan masa sebanyak tujuh kali, kekangan kewangan dan pengambilalihan tanah sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun di luar," kata mereka.


Ketiga-tiga wakil rakyat itu melahirkan keyakinan bahawa pembukaan Seksyen Satu EKVE itu akan memberi kelegaan besar kepada penduduk selainmenunjukkan kesungguhan kerajaan Madani dalam menangani isu kesesakan lalu lintas dan memberi pilihan kepada pengguna jalan raya.


"Dengan "soft loan" serta pelbagai bentuk bantuan dan sokongan daripada pihak kerajaan, akhirnya lebuh raya ini boleh digunakan selepas 10 tahun pembinaan bermula," kata mereka.


"Kami menggesa agar Seksyen 2 lebuh raya ini iaitu dari Ampang ke Ukay Perdana dapat disiapkan secepat mungkin. Menjadi tanggungjawab pihak EKVE untuk memberi garis masa yang tepat namun realistik bagi baki projek ini dapat disiapkan sepenuhnya."

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page