Selangor wujudkan Lembah Klang Raya ke arah bandaraya digital
- Redzuan Shamsudin
- Nov 10, 2023
- 1 min read

Belanjawan Selangor 2024 akan memulakan inisiatif mewujudkan Lembah Klang Raya.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, oleh kerana 4 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bandaraya merangkumi Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan selepas ini Klang terletak di Selangor maka satu penjajaran semula perlu dilakukan melibatkan kesemua bandaraya tersebut.
Katanya, hampir 11% penduduk Malaysia atau hampir 50% penduduk Selangor didapati menetap di 4 PBT berkenaan.
Oleh itu, katanya, dengan tekad mencari solusi dan setelah meneliti pengalaman seperti Greater London Authority, Liverpool City Region, serta Tokyo Bay Area yang melibatkan Tokyo, Chiba, Saitama dan Kanagawa, Kerajaan Negeri akan mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi satu sistem pentadbiran bagi keempat-empat PBT di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang dengan memperkenalkan Enakmen Lembah Klang Raya.
"Lembah Klang Raya dibangunkan dengan tujuan mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar dan responsif bagi penduduk
serta komuniti perniagaan termasuk menyeragamkan proses permohonan perniagaan, pelesenan, dan kelulusan
"Proses rejuvenasi bandar-bandar matang (lama).
"Menjadi ‘test bed’ bagi pentadbiran kerajaan digital dengan membina sistem digital twin Lembah Klang Raya bagi membolehkan simulasi seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan termasuk reka bentuk bangunan dan kebenaran merancang
"Mempercepatkan transisi daripada penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam," katanya.
Selain itu, dua fungsi lain ialah mengoptimumkan sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan serta mewujudkan pentadbiran lokaliti pertama yang mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak, serta menjayakan hasrat Low Carbon City pertama Malaysia.
Dengan itu, kata Amirudin, Kerajaan Negeri bersetuju memulakan proses berkenaan dengan dana pemula sebanyak RM2 juta.
Comments