top of page

Selangor - wilayah Ghana bertukar pengalaman bangunkan pelabuhan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 3
  • 1 min read

DS Amirudin menerima kunjungan hormat Menteri Wilayah Volta, Ghana, James Gunu. Foto: FB MB Selangor
DS Amirudin menerima kunjungan hormat Menteri Wilayah Volta, Ghana, James Gunu. Foto: FB MB Selangor

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan Selangor hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Wilayah Volta, Ghana, James Gunu bersama delegasinya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di Shah Alam.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertemuan itu dimanfaatkan dengan bertukar pandangan dan pengalaman mengenai pembangunan pelabuhan, pertanian, akuakultur serta digitalisasi.


Antara tumpuan utama katanya adalah pembangunan Pelabuhan Keta di Ghana, yang seiring dengan projek Pelabuhan Pulau Carey di Selangor.


"Kedua-dua pihak berkongsi amalan terbaik dan strategi untuk memastikan projek pelabuhan ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serantau.


"Kami juga melihat banyak persamaan antara Selangor dan Volta iaitu daripada segi iklim tropika sehingga kepada keutamaan dalam pertanian dan sumber air.


"Pertukaran ilmu dan pengalaman ini memberi nilai tambah kepada kedua-dua belah pihak," katanya menerusi muat naik di Facebook.


Menurut Amirudin lagi, pihaknya turut membentangkan beberapa inisiatif utama kerajaan negeri termasuk pembangunan taman perniagaan, Pusat Data Awan Google di Selangor, Selangor International Business Summit (SIBS), kempen pelancongan Melawat Selangor 2025 dan pelan jangka panjang di bawah Pelan Selangor 1 (RS-1) dan Pelan Selangor 2 (RS-2).


"Delegasi Volta pula berkongsi pengalaman mereka dalam memajukan tanaman kenaf, yang berpotensi tinggi dalam industri berasaskan bio.


"Turut hadir dalam sesi tersebut adalah wakil Invest Selangor dan Tourism Selangor, yang turut membentangkan pelan strategik dan potensi pelaburan.


"Pertemuan itu diakhiri dengan komitmen bersama untuk terus meneroka peluang kerjasama, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," ujarnya.


Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, Selangor komited untuk membina rangkaian kerjasama global yang bukan sahaja membawa pelaburan, tetapi pertukaran ilmu dan kemahiran demi pembangunan yang mampan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page