top of page

Selangor Wajib Haramkan Vape

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 15
  • 2 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Keputusan Kerajaan Madani Selangor untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) akan diketahui dalam tempoh masa terdekat. Namun pada masa kini tindakan tegas telah diambil oleh Kerajaan Madani Selangor untuk mengharamkan semua bentuk pengiklanan vape kerana melanggar Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).


Arahan pengharaman pengiklanan vape tersebut telah dimanifestasikan melalui tindakan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor untuk menghentikan dan menyita serta-merta sebarang bentuk iklan berkaitan vape sama ada di medium fizikal ataupun digital. Malah ketegasan telah ditunjukkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan vape adalah haram.


Langkah tegas ini diambil bagi melindungi masyarakat, terutama generasi muda daripada bahaya vape yang semakin membimbangkan. Tindakan Kerajaan Madani Selangor ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ianya telah didahului oleh Kerajaan Negeri Johor, Kelantan dan Terengganu yang telah mengharamkan penjualan vape.


Pelajar sekolah guna vape


Masalah penggunaan vape dalam masyarakat telah menular sehingga ke peringkat pelajar sekolah rendah. Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan bahawa 0.38% (19,450) pelajar daripada jumlah keseluruhan murid di bawah seliaan KPM yang terbabit dengan masalah vape, jumlah tersebut menunjukkan pola peningkatan semenjak beberapa tahun lepas.

Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

KPM terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menggantung atau membuang persekolahan pelajar yang terbabit dengan masalah vape secara berulang. Malah KPM turut memanggil ibu bapa pelajar terbabit bagi menghadiri sesi konsultasi.


Kerajaan Madani diperingkat Persekutuan turut menunjukkan sikap yang tegas terhadap masalah vape terutama dalam kalangan belia kerana ia merupakan pintu masuk kepada penggunaan dadah yang lebih serius. Beberapa laporan berhubung ketagihan vape yang mengandungi cendawan ajaib (magic mushroom) dalam kalangan pelajar telah dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri termasuk Terengganu, Johor dan Kelantan.


Ketagihan ini sangat membimbangkan kerana ia mengakibatkan halusinasi yang berbahaya serta gejala keracunan teruk hingga berpotensi membawa maut. Keseriusan masalah ini telah mengakibatkan seorang pelajar di Terengganu dikejarkan ke hospital selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil vape jenis magic mushrooms.


Cukai vape tidak sebanding kerosakan


Kesedaran awam berkenaan pengharaman vape telah mula digerakkan oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). Wujud alasan bahawa cukai yang dikenakan kepada vape mampu menjana pendapatan lumayan untuk negara. Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaporkan bahawa duti eksais pada kadar RM 0.40 yang dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel yang digunakan untuk vape mampu menjana pendapatan sehingga RM 300 juta setahun. Namun wjujud bantahan tegas daripada NGO yang berhujah bahawa apalah gunanya kerajaan memperoleh pendapatan yang lumayan sekiranya kesejahteraan rakyat menjadi galang gantinya.


Kerajaan Madani peringkat Persekutuan telah membuat pendirian melalui Kementerian Kesihatan untuk menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape melalui PBT.


Justeru kini keputusan berada di pihak pentadbiran Kerajaan Madani Selangor untuk menentukan halatuju pembangunan masa depan rakyat di negeri tersebut. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia yang dicatatkan oleh Negeri Selangor membolehkan negeri tersebut untuk mandiri tanpa perlu bergantung kepada pendapatan cukai vape. Negeri Selangor akan kekal maju dan bertambah makmur sekiranya kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya menjadi keutamaan.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page