Wanita KEADILAN hargai jaminan kerajaan kekal harga petrol RM1.99 seliter
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Wanita KEADILAN menyokong penuh langkah Kerajaan MADANI yang mengambil pendekatan berjaga-jaga bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk mengekalkan harga petrol di bawah skim BUDI95 pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak.
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar berkata, dalam situasi global yang mencabar, adalah menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan untuk mengambil langkah berjaga-jaga pada tahap lebih awal demi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.
Beliau berkata, langkah kerajaan mengekalkan harga petrol BUDI95 pada RM1.99 seliter juga merupakan pendekatan yang jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan harga.
Ujarnya, dalam banyak negara lain, kenaikan harga tenaga telah menyebabkan peningkatan mendadak kos sara hidup, justeru usaha kerajaan mengekalkan harga yang lebih stabil bagi rakyat merupakan satu bentuk perlindungan sosial yang amat penting.

"Kami menghargai jaminan kerajaan bahawa bekalan petroleum negara masih berada pada tahap yang terkawal sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Kepastian ini penting dalam memastikan ketenangan rakyat serta kestabilan sektor ekonomi dan perniagaan domestik.
"Wanita KEADILAN juga menyokong keputusan kerajaan untuk menggalakkan budaya perbelanjaan berhemah dan kesederhanaan, termasuk keputusan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri oleh agensi kerajaan, GLC dan GLIC pada tahun ini.
"Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, langkah simbolik ini memberi mesej kepimpinan yang jelas bahawa kerajaan turut mengamalkan disiplin fiskal dan keutamaan terhadap pengurusan kewangan yang berhemah," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Sangetha turut memuji Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengehadkan lawatan rasmi ke luar negara oleh anggota pentadbiran sekali gus menggambarkan kesediaan kerajaan untuk memberi fokus penuh kepada pengurusan situasi semasa serta mengoptimumkan penggunaan sumber negara.
Beliau berkata, pihaknya juga menghargai usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara dan membawa mereka pulang dengan selamat dalam keadaan yang mencabar.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi rakyat Malaysia di mana jua mereka berada. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, rakyat memerlukan kepimpinan yang tenang, bersedia dan berfikir jauh ke hadapan.
"Langkah-langkah yang diumumkan oleh kerajaan menunjukkan bahawa Malaysia sedang bersedia menghadapi kemungkinan cabaran ekonomi global dengan pendekatan yang berhati-hati dan bertanggungjawab.
"Wanita KEADILAN akan terus menyokong segala usaha kerajaan yang bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya wanita dan keluarga yang sering menjadi kumpulan paling terkesan apabila kos sara hidup meningkat," ujarnya lagi.




Comments