Kerajaan Negeri tidak ikut membubarkan Dewan Negeri Selangor sebagaimana dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan lebih menumpukan kepada usaha menghadapi banjir yang diramal akan melanda pada bulan November ini.
"Pagi ini saya menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam sesi menghadap berjadual.
"Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan Kerajaan Negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini," katanya.
Menurut Amirudin lagi, Tuanku Sultan Selagor berkenan dengan perkembangan terbaharu yang dimaklumkan dan berharap Kerajaan Negeri terus berusaha menjaga kebajikan rakyat.
"DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor," katanya lagi.
Kommentare