Selangor terus pacu pembangunan, RS-2 bakal dibentang tahun depan
- Suara Keadilan
- 32 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor dijangka membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) kepada umum pada Jun tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-2 bakal dibentang berasaskan data sedia ada bagi memastikan hala tuju negeri berada pada landasan tepat.
"Sewaktu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dirangka, saya minta semua pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan merekodkan apa aktiviti di kawasan masing-masing dan fokusnya.
"Dari situ, kita wujudkan kluster ekonomi dan laksana RS-1 dengan menitikberatkan pembangunan wilayah sebagai strategi dengan melihat sesebuah lokaliti berdasarkan ekonomi serta masyarakatnya.
"Oleh itu, kita akan bentang RS-2 pada Jun depan berasaskan data sedia ada. Ia penting untuk dibentangkan kepada rakyat supaya dapat bentuk pemikiran dan hala tuju masyarakat lebih tepat termasuk dalam bidang pertanian," katanya dipetik.
Kerajaan Selangor mengumumkan RS-1 (Rancangan Selangor Pertama) pada Julai 2022 bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.
Maklumat awal berkenaan RS-2 memberi bayangan bahawa rancangan tersebut bakal memberi tumpuan kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan.