Selangor terus jadi peneraju ekonomi digital, inovasi - Amirudin
- Suara Keadilan

- Jul 10
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengulangi komitmennya untuk terus memperkukuh agenda ekonomi digital, mempercepat inovasi dan menjadikan negeri ini hab teknologi serantau yang unggul.
Komitmen tersebut ditegaskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena sambutan ulang tahun ke-10 Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) yang diadakan dalam satu majlis di Petaling Jaya.
Menerusi ucapan di majlis itu Amirudin menegaskan bahawa usaha Kerajaan Negeri tidak terhenti setakat mencipta peluang perniagaan digital, tetapi turut memacu pelaburan strategik, pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan ekosistem teknologi berimpak tinggi.
"Kita mahu memastikan Selangor terus menjadi peneraju dalam agenda ekonomi digital, bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini," katanya.
SIDEC ditubuhkan sedekad lalu kini menjadi tunjang transformasi digital negeri, termasuk dengan menyokong lebih 70,000 usahawan teknologi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula (startup). Nilai dagangan kasar yang dicatatkan hasil programnya melebihi RM736 juta dengan lebih 80 inisiatif dilaksanakan setakat ini.
Majlis diadakan turut menyaksikan langkah strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh industri semikonduktor negara melalui pelantikan tiga tokoh terkemuka sebagai penasihat Sidec dan projek berkaitan.
Antaranya ialah Dr Chiang Shang-Yi, tokoh legenda semikonduktor dunia yang juga Pengarah Foxconn, dan Puan Nurul Izzah Anwar yang membawa kepakaran dasar awam serta pembangunan sosio-ekonomi.
Turut diraikan pada malam itu ialah graduan pertama Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP) yang menjalani latihan intensif selama dua bulan di Shenzhen, China, menandakan usaha berterusan Selangor melahirkan bakat tempatan bertaraf dunia dalam bidang teknologi tinggi.
Sambutan ulang tahun ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tiga hala antara Sidec, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Artem Ventures, bagi menubuhkan Dana Semikonduktor Selangor (SSF), dana modal teroka pertama di Malaysia yang diterajui kerajaan negeri khusus untuk mempercepat pembangunan industri semikonduktor.
Dana ini akan memberi tumpuan kepada startup dan scaleup dalam reka bentuk IC, cip AI serta penyelesaian semikonduktor termaju.









Comments