top of page

Selangor terima lebih 123 ribu permohonan Skim Khairat Darul Ehsan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 hours ago
  • 1 min read

ree

Sebanyak 123,343 permohonan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) diterima setakat Oktober lalu, sekaligus membuktikan inisiatif digerakkan Kerajaan Negeri Selangor menerima sambutan menggalakkan dari rakyat negeri itu.


Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar) berkata, daripada jumlah itu 99,621 permohonan diluluskan manakala 17,845 dalam proses semakan, 5,259 tidak lengkap dan 618 ditolak.


"Bagi program ini, Selangor memperuntukkan RM20 juta. Namun tuntutan kematian belum mencapai RM10 juta. Ini menunjukkan masih ramai yang tidak mengetahui tentang program ini.


"Oleh itu, kita akan mengkaji tatacara baharu bagi memindahkan terlebih dahulu ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ke program KDE supaya lebih ramai menerima manfaat," katanya dipetik sebagai menjawab soalan tambahan wakil rakyat Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron, pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.


KDE adalah inisiatif Kerajaan Selangor untuk menyediakan bantuan khairat kematian RM1,000 bertujuan meringankan beban waris.


Terdahulu, Anfaal memaklumkan bahawa 385,903 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang layak telah didaftarkan di bawah KDE.


"Seramai 89,346 ahli telah melengkapkan pendaftaran. Namun, masih terdapat 296,557 ahli yang belum mengemaskini maklumat masing-masing," katanya.


Program KDE dilaksanakan sebagai inisiatif kebajikan bagi membantu masyarakat Melayu di Selangor, khususnya ahli SMUE untuk mendapatkan sokongan kewangan serta manfaat program kerajaan negeri dengan lebih mudah dan tersusun.


Sementara itu Anfaal memaklumkan, kumpulan terbesar pemohon melibatkan peserta berusia antara 50 hingga 60 tahun iaitu seramai 75,935 orang.


Seramai 38,901 pula berumur lebih 60 tahun, manakala 8,507 pendaftar adalah individu bawah 50 tahun termasuk golongan OKU.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page