Selangor tempat terbaik meletakkan wang di Asia Tenggara - MB


Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 dibuka hari ini dengan ucapan Menteri Besar Selangor bahawa negeri itu merupakan tempat terbaik meletakkan wang di Asia Tenggara bagi para pelabur.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian dengan membandingkan fasiliti lengkap yang dimiliki Selangor berbanding negeri negeri lain serantau.
"Jika anda terpaksa memilih negeri terbaik untuk meletakkan wang anda di Asia Tenggara, tiada tempat yang lebih baik untuk nilai wang anda selain Selangor.
"Tiada negeri lain yang mempunyai pelabuhan laut ke-12 paling sibuk di dunia. Tiada negeri lain mempunyai dua terminal lapangan terbang utama, dan satu terminal serantau di Subang yang akan mengalami pembesaran.
"Daripada 240 syarikat aeroangkasa di Malaysia, tidak ada negeri lain yang mempunyai 62% industri aeroangkasa dalam sempadan mereka, tiada negeri lain yang mempunyai hubungan yang lebih baik, daripada jalan raya dan lebuh raya ke bas dan kereta api (berbanding Selangor)," katanya dalam ucapan pembukaan.
Menurut MB lagi, Selangor tahun ini menyumbang 25.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan memiliki gabungan industri daripada pembuatan sama ada dalam ruang automotif, elektrik dan elektronik, atau logistik dan farmaseutikal.
"Kami juga mempunyai universiti terbesar dan minda paling cemerlang. Bukan rakyat Selangor sahaja yang menggelar negeri ini sebagai rumah.
"Anak kelahiran Kedah, anak muda Terengganu, keluarga di Johor yang tidak mahu turun naik tambak setiap hari; kesemua mereka memilih Selangor untuk memanggil rumah baharu mereka. Ini bermakna kami akan mempunyai bekalan tenaga kerja yang stabil untuk mengambil pekerjaan yang akan dapat dicipta oleh pelaburan anda.
"Kami telah pun bekerja keras untuk menarik pelabur asing untuk cawangan di Selangor. Semalam, saya merasmikan pusat pengedaran global terbesar Daiso Jepun yang akan dibina di Pulau Indah, Selangor. Begitu juga, syarikat lain seperti Toyota, Texas Instruments, Wistron, Airbus, Aerodyne, dan ALP telah memainkan peranan penting dalam ekonomi Selangor berkembang sebanyak 11.9% pada 2022, mengatasi pertumbuhan negara sebanyak 3.2%," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin juga memuji usaha penting dan gigih pasukan di Invest Selangor, ketua-ketua jabatan dalam majlis tempatan dan kerajaan negeri dan berusaha ke arah satu matlamat iaitu mempamerkan Selangor sebagai pilihan pertama pelabur, dan menarik pekerjaan dari luar negara ke Selangor.
Mereka, katanya, menghubungkan pelabur asing dengan perusahaan kecil dan sederhana untuk terus dimasukkan dalam rantaian bekalan global.
Dalam ucapannya, MB juga membentangkan Rancangan Selangor Pertama yang beliau lancar pada Ogos tahun lalu. Pelan yang mempunyai kemampanan kerana tidak mengambil mudah ancaman perubahan iklim dan boleh merugikan industri.
Selain itu, beliau mengingatkan bahawa Malaysia sedang dipacu dengan perubahan ekonomi menuju ke arah industri baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya selepas 4 dokumen penting diumumkan dalam tempoh dua bulan lalu.
"Bermula dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani, diikuti dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu, dan Persekutuan minggu lepas.
"Belanjawan Persekutuan pula menggariskan visi dan komitmen Malaysia untuk menyelaraskan proses perniagaan, memberikan lebih kejelasan, dan meningkatkan peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan saya mahu Invest Selangor menggunakan sepenuhnya peluang ini, dan saya membuat komitmen bahawa isu yang anda hadapi sebagai komuniti perniagaan, harus diselesaikan dalam masa secepat mungkin," katanya lagi.
MB juga mengucapkan syabas kepada penganjuran SIBS yang pada tahun 2015 hanya mempunyai 4,300 pengunjung mengunjungi 400 gerai dengan nilai transaksi kira-kira RM182 juta.
Namun kali ini, katanya, terdapat 1,050 gerai untuk 50,000 pengunjung dan berharap dapat menyaksikan transaksi antara syarikat bernilai lebih RM1.5 bilion melalui Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor, Ekspo Perubatan Antarabangsa Selangor, Ekspo Taman Perindustrian Selangor yang baharu atau SPARK, perbincangan mengenai penyelesaian bandar pintar dan ekonomi digital, dan termasuk Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor pada hujung minggu ini.
* Kredit Foto: Selangorkini




Comments