Selangor teliti ubah suai bangunan terbengkalai jadi pusat warga emas
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus proaktif memastikan kebajikan rakyat di negeri itu terutama warga emas terus diberi perhatian, sejajar persediaan menghadapi realiti negeri menua.
Exco Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (gambar) berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan mengubah suai bangunan terbengkalai supaya boleh dimanfaatkan semula sebagai pusat penjagaan dan aktiviti warga emas.
"Jika memenuhi syarat keselamatan dan fungsi, ia (bangunan terbengkalai) boleh dijadikan pusat jagaan warga emas atau pusat komuniti," katanya dipetik.
Mengulas lanjut Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer berkata, sekiranya cadangan itu sesuai, ia bukan hanya akan melibatkan penambahbaikan aspek fizikal bangunan, tetapi juga penyusunan semula garis panduan pusat penjagaan supaya lebih relevan dengan perubahan demografi dan keperluan semasa.
"Penambahbaikan perlu dilaksanakan seiring dengan Pelan Rancangan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV),
"Saya juga tidak menolak kemungkinan pindaan dasar di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan premis terbengkalai digunakan semula. Garis panduan juga mesti lebih fleksibel tetapi tetap menekankan aspek keselamatan," tambahnya.
Beliau sementara itu menegaskan, sektor penjagaan sosial tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan model kerjasama strategik bersama pihak swasta.
"Fasiliti sosial seperti pusat jagaan tidak wajar beroperasi hanya sebagai entiti kerajaan. Kita perlu wujudkan model sosial-komersial yang memberi manfaat bersama," ujarnya.









Comments