Kerajaan Persekutuan boleh isytihar darurat di N Sembilan, stabilkan pentadbiran - KANUN


Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbang pengisytiharan darurat di Negeri Sembilan bagi menstabilkan pentadbiran negeri yang kini berdepan kemelut perlembagaan dan pertikaian kuasa antara institusi negeri, demikian kata Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman (gambar).
Beliau yang juga peguambela dan peguamcara berkata langkah itu wajar dipertimbangkan selepas kemelut politik dan perlembagaan negeri semakin meruncing sehingga melibatkan kedudukan Yang Dipertuan Besar, barisan Exco serta dua pegawai kanan pentadbiran negeri.
Cadangan itu dibuat sehari selepas 10 bekas Presiden Majlis Peguam menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut Perlembagaan berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Zulqarnain berkata campur tangan Kerajaan Persekutuan kini perlu dilakukan secara lebih tegas bagi mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri.
"Ubat paling mujarab adalah untuk Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat di Negeri Sembilan.
"Tindakan itu boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
"Kuasa untuk perisytiharan darurat ini berada di tangan YDPA. PMX boleh menasihati YDPA untuk tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menunggu sehingga berlaku kekacauan atau rusuhan baharu sebelum mengambil tindakan bagi menangani kemelut berkenaan.
"Bola sekarang di tangan PMX. PMX tidak perlu menunggu sehingga berlaku rusuhan baharu hendak bertindak," katanya.
Zulqarnain berkata perisytiharan darurat merupakan mekanisme yang pernah digunakan dalam sejarah negara termasuk di Kelantan pada 1977 susulan krisis politik dan ketenteraman awam ketika itu.
Beliau berkata ketika itu, darurat di Kelantan diisytiharkan selepas berlaku kebuntuan politik membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhammad Nasir, yang berdepan usul undi tidak percaya oleh 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.
Beliau turut merujuk campur tangan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn dalam krisis berkenaan.
Zulqarnain berkata sekiranya darurat dipertimbangkan di Negeri Sembilan, tempohnya boleh ditetapkan sehingga keadaan politik negeri kembali stabil dan membolehkan pilihan raya negeri diadakan semula pada masa yang sesuai.
"Tempoh setahun darurat di Negeri Sembilan ini mampu untuk merungkai segala permasalahan di Negeri Sembilan. Kehidupan rakyat Negeri Sembilan juga tidak akan terjejas dan kerajaan boleh berfungsi dengan adanya Menteri Besar interim," katanya.
Cadangan itu dikemukakan ketika kemelut pentadbiran Negeri Sembilan semakin tegang selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengumumkan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Ismail turut mengumumkan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri manakala peguam Fahmi Adilah menjalankan tugas memberikan nasihat perundangan sehingga pelantikan baharu dibuat.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai berkenaan.
Menurut AGC, urusan pelantikan termasuk penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan seperti diperuntukkan Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sebelum itu, 10 bekas Presiden Majlis Peguam turut menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam kemelut tersebut yang menurut mereka menimbulkan kebimbangan terhadap sistem Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Zulqarnain berkata cadangan pengisytiharan darurat perlu dilihat sebagai langkah sementara bagi membuka ruang menyelesaikan pertikaian perundangan dan politik yang berlaku secara menyeluruh.
"Selain itu, dalam tempoh darurat ini kerajaan negeri boleh mengemukakan permohonan di Mahkamah Persekutuan jika ada isu-isu perundangan yang perlu diputuskan terutama berkaitan dengan keabsahan pemecatan Yang Dipertuan Besar dan pelantikan Yang Dipertuan Besar," katanya.
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme Proklamasi Darurat apabila terdapat keadaan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
Peruntukan itu juga membolehkan proklamasi dibuat sekiranya terdapat bahaya yang hampir berlaku.
Zulqarnain berkata tempoh darurat yang dicadangkannya juga boleh digunakan untuk menyediakan ruang kepada penyelesaian politik dan perundangan sebelum rakyat diberi peluang memilih semula wakil mereka.
"Tiada makna gelombang biru sekiranya kestabilan politik terus tergugat," katanya.




Comments