top of page

Selangor teliti dana khas perluas vaksin Influenza kepada pelajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 1 min read
ree

Kerajaan Negeri Selangor terus menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyatnya dengan meneliti keperluan menyalurkan dana khas bagi memperluas pemberian vaksin influenza.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, langkah itu susulan peningkatan kes jangkitan yang kian membimbangkan terutama dalam kalangan pelajar sekolah seperti dilaporkan baru-baru ini.


"Laporan penuh berhubung situasi semasa penyakit itu akan dibentangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Jumaat ini.


"Saya akan membuat beberapa rujukan terhadap kes terbaharu influenza dalam laporan Jumaat nanti. Apa pun, paksi kita bergantung kepada cadangan daripada JKNS," katanya dipetik.


Amirudin berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Shah Alam Urban Forum (SAUF) 2025 di Pusat Konvensyen MBSA pada Selasa.


Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan, kadar konsultasi bagi penyakit Influenza-like Illnesses (ILI) menunjukkan peningkatan ketara pada minggu epidemiologi ke-40 tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 78 peratus berbanding 5.9 peratus pada minggu sebelumnya.


Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan tersebut menandakan trend jangkitan influenza yang semakin meningkat di negara ini, khususnya melibatkan kluster sekolah dan tadika.


Sementara itu menurut Amirudin, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menggunakan dana di bawah inisiatif Sihat Selangor bagi membantu pelaksanaan program vaksinasi influenza sekiranya diperlukan, malah akan mempertimbangkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan Negeri akan datang bagi memperkukuh usaha pencegahan penyakit berjangkit di negeri paling padat penduduk itu.


"Kita akan lihat semula jika ada keperluan, termasuk menilai kos supaya anak-anak kita dapat dilindungi daripada jangkitan influenza. Di bawah Sihat Selangor, sebenarnya peruntukan sedia ada boleh digunakan untuk pembelian vaksin termasuk vaksin influenza," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page