top of page

Selangor tegas tolak cubaan promosi budaya songsang - Najwan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya songsang di negeri itu.


Pendirian tersebut dinyatakan Exco Belia dan Sukan negeri, Mohd Najwan Halimi (gambar) susulan rancangan sebuah kumpulan didakwa pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengadakan program ‘Glamping With Pride’ di sebuah kawasan rekreasi di Hulu Langat hujung minggu depan.


Menurut beliau, Kerajaan Negeri memandang serius penganjuran aktiviti yang didakwa bercanggah dengan norma masyarakat serta nilai agama yang diamalkan di negara ini dan telah berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut.


"Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sudah menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mempromosikan LGBT atau perkara yang bercanggah dengan norma masyarakat.


"Kerajaan Negeri mengambil maklum pendirian tegas Mais yang melarang umat Islam daripada menyertai sebarang program berkaitan penyebaran unsur LGBT," katanya dipetik kepada media selepas Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling di pusat beli-belah Central i-City, di Shah Alam pada Sabtu.


Dalam pada itu, Mohd Najwan mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam di Selangor, agar mematuhi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang sebarang penglibatan dalam aktiviti atau budaya berkaitan LGBT.


Ini kerana budaya songsang itu berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta melemahkan institusi kekeluargaan.


"Mereka (penganjur) sepatutnya tak payah buatlah, jangan sebar perkara mengarut sehingga mempamerkan poster lelaki berbikini kerana di Malaysia kita tidak mengiktiraf LGBT," tegasnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page