Selangor tawar pembelajaran kelas bahasa asing secara percuma
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor bakal menawarkan kelas bahasa asing secara dalam talian dan percuma bermula tahun depan, sebagai langkah memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, program itu mula diperkenal ketika pandemik Covid-19 diuruskan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bersama pusat bahasa telah mendapat sambutan menggalakkan.
Program yang mengenakan bayaran RM10 sebelum ini akan ditawarkan secara percuma dalam talian sebagai asas kepada pembelajaran bahasa yang lebih mendalam.
"Bahasa adalah kekuatan yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global, bukan punca perpecahan.
"Sebab itu mulai tahun depan, Selangor akan tawarkan kelas bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Sepanyol secara dalam talian dan percuma, supaya rakyat negeri ini fasih sekurang-kurangnya tiga bahasa selain Melayu dan Inggeris," katanya.
Amirudin berkata begitu selepas sambutan Krismas peringkat negeri Selangor 2025 di pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin turut menekankan keperluan anak muda masa kini menguasai teknologi terkini agar terus relevan dalam pembangunan dunia.
Ia termasuk bidang kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan inovasi digital lain.









Comments