Selangor tawar kelebihan strategik tarik pelaburan teknologi modul kuasa
- Suara Keadilan

- Sep 23
- 1 min read

Syarikat peneraju global dalam teknologi modul kuasa, StarPower Semiconductor Ltd kini sedang mengintai beberapa lokasi di Malaysia untuk pelaburan fasa pertama bernilai RM200 juta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata syarikat berpangkalan di Jiaxing, Zhejiang itu menyatakan hasrat tersebut semasa kunjungannya ke syarikat berkenaan dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Republik Rakyat China yang bermula semalam.
"Pelaburan fasa pertama sebanyak RM200 juta ini akan memfokuskan kepada pengeluaran modul IGBT dan SiC MOSFET, komponen penting dalam industri semikonduktor serta tenaga boleh baharu.
"Selangor memiliki semua kelebihan strategik untuk menarik pelaburan StarPower, termasuk kedudukan strategiknya yang mempercepatkan urusan logistik," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amirudin mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama sembilan hari bagi meneroka potensi kerjasama dan pelaburan dari negara itu.
Delegasi dijadualkan mengadakan pelbagai mesyuarat, lawatan tapak dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik di Shanghai, Anhui, Beijing, Shenzhen dan Guangdong.
Sementara itu menurut Amirudin, Selangor yang memiliki infrastruktur bertaraf dunia berupaya menjadi tapak terbaik pelaburan serantau menerusi program pembangunan bakat yang kukuh.
"Selangor memperkukuh pembangunan bakat melalui penubuhan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
"ASEM melaksanakan program latihan seperti National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) dan Global Semiconductor Exchange Programme (GSEP). Usaha ini bukan sahaja menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk pelabur antarabangsa, malah membuka peluang lebih luas kepada rakyat tempatan untuk menyertai industri semikonduktor global.
"Dasar Speed Selangor yang akan dilancarkan Oktober ini akan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan, menjadikan Selangor antara negeri paling kompetitif di rantau ini," tambahnya.









Comments