'Selangor stabil dibawah Amirudin, retorik Azmin tidak laku'
- Suara Keadilan
- Jun 15
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa gabungan parti itu mampu merampas Selangor pada pilihanraya akan datang disifatkan sebagai mimpi di siang hari.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi (gambar) berkata, prestasi Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari jauh lebih meyakinkan rakyat berbanding retorik politik lapuk yang dibawa pembangkang.
"Rakyat Selangor ini cerdik dan bijak menilai. Mereka tahu siapa yang bekerja dan siapa yang hanya pandai bercakap.
"Kita tengok maklum balas rakyat, mereka puas hati kerana kerajaan negeri bekerja, bukan sekadar berpolitik," katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut Abbas berkata, dasar-dasar pro-rakyat yang diperkenal dan dilaksanakan Amirudin melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah memberi manfaat ketara kepada rakyat, termasuk dalam aspek kebajikan, ekonomi dan pembangunan inklusif.
Selain itu Kerajaan Negeri sedia ada sentiasa konsisten dengan pendekatan progresif dan stabil dan mendapat sokongan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"RS-1 adalah bukti betapa pentadbiran Amirudin berpandangan jauh dan berteraskan keperluan rakyat.
"Program seperti Iltizam Selangor Penyayang, Skim Bantuan Kehidupan Selangor dan pembangunan infrastruktur berimpak tinggi telah melonjakkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri
"Jika ada gelombang yang bakal berlaku, ia bukan gelombang PN, tetapi tsunami prestasi dan kestabilan di bawah kepimpinan Anwar dan Amirudin," tambah ADN Seri Serdang itu.
Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan kegagalan Azmin mengetuai jentera PN dalam PRN lalu walaupun mendakwa berlaku gelombang "tsunami hijau".
"Dulu semasa PRN Selangor pun kononnya ada ‘tsunami’, Azmin sendiri gagal. Sekarang tiba-tiba cakap boleh tambah 10 kerusi. Mimpi apa pula kali ini?" sinis Abbas.
Terdahulu, Azmin dalam satu video di Facebook mendakwa PN berpotensi menambah 10 kerusi DUN pada PRN akan datang dan menyatakan keyakinan untuk menawan pentadbiran negeri Selangor.
Namun, pemerhati politik melihat kenyataan itu sekadar usaha membina naratif untuk menaikkan semangat penyokong PN, sedangkan landskap politik semasa menunjukkan kestabilan kerajaan negeri terus terjamin di bawah Amirudin Shari.
Comments