Selangor sokong agenda nasional pendermaan organ - Exco
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor merancang menggerakkan kempen kesedaran pendermaan organ sebagai menyokong agenda nasional Kementerian Kesihatan.
Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, kempen berkenaan bukan sekadar menggalakkan pendaftaran penderma, sebaliknya memberi penekanan kepada kesedaran keluarga agar menghormati hasrat individu untuk menderma organ.
"Kita (Kerajaan Negeri Selangor) menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan kerana perkara ini memang penting dan memerlukan komitmen bersama
"Kadar pendermaan organ di Malaysia masih rendah dan memerlukan tindakan bersepadu di semua peringkat," katanya dipetik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini memaklumkan, perkhidmatan pemindahan organ negara akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan bermula 2026.
Langkah itu jelasnya selaras usaha KKM menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat untuk memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamaliah memaklumkan akses kesihatan rakyat Selangor akan terus dipelihara menerusi kesinambungan pelbagai inisiatif sedia ada.
Dalam masa sama, aspek penjagaan kesihatan warga emas akan diperkukuh merangkumi saringan berkala, rawatan fisioterapi dan pemantauan susulan yang lebih sistematik, manakala kempen pencegahan awal termasuk kesedaran bahaya rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja akan diteruskan.
Kerajaan Selangor juga jelasnya bakal mengukuhkan kesihatan mental remaja menerusi Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), termasuk pelaksanaan program rintis Peer-Z di sekolah terpilih sebagai intervensi awal berasaskan sokongan rakan sebaya turut menjadi fokus Kerajaan Negeri.





