Selangor siapsiaga hadapi risiko banjir susulan air pasang besar - Najwan
- Suara Keadilan

- 7 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hujung minggu ini, sekali gus meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.
Komitmen itu ditegaskan Exco Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi (gambar), ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Usahawan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025 pada Khamis.
"Minggu lalu keadaan agak kritikal dengan hujan berterusan, namun minggu ini cuaca menunjukkan sedikit pemulihan. Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah kerana masih dalam tempoh berjaga-jaga.
"Fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada 5 dan 6 Disember. Jika hujan turun dalam tempoh tersebut, risiko banjir tetap ada. Dari segi persiapan, semuanya telah dibuat sebaiknya dan kita memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya dipetik.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Rabu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari 5 hingga 8 Disember.
Beberapa daerah di Sabah dijangka mengalami hujan berpanjangan pada 5 dan 6 Disember, manakala Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 6 hingga 7 Disember. Johor dan Sarawak pula diramal menerima hujan berterusan pada 7 dan 8 Disember.
Di Selangor, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu menurut Najwan, lebih 1,000 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah digazetkan Kerajaan Negeri sedia diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut membekukan cuti pegawai di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga 15 Disember, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan cuaca dan potensi banjir.









Comments