Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan sumbangan wang ihsan bernilai RM155,000 kepada waris 31 mangsa kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali, pada Disember lalu.
Menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah (gambar dua dari kanan), sumbangan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban dan membantu mangsa.
"Yang ini pertama kali (Kerajaan Negeri) beri bantuan. Ini dari Kerajaan Negeri khususnya kita bagi kepada (waris) RM5,000 setiap mangsa.
"Setakat ni kita beri (bantuan) kewangan dulu, tapi mungkin ada keperluan lain.
"Kerajaan Negeri dari segi penjagaan dan sebagainya kita akan lihat pelaksanaannya kerana yang terlibat bukan semua dari negeri Selangor," kata beliau selepas Program Jelajah kita Selangor Penyayang di Batang Kali kelmarin.
Menurut ADUN Sungai Sepat itu, sumbangan diserahkan secara berperingkat dengan bantuan kepada waris mangsa di Selangor diserahkan hari ini, manakala bagi mangsa di Pulau Pinang dan Melaka akan disampaikan dalam masa terdekat oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.
Dalam kejadian pada awal pagi 16 Dis itu 31 individu terdiri 18 dewasa dan 13 kanak-kanak, terkorban berikutan runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mereka.
61 mangsa lain yang terselamat dalam kejadian tersebut.
Perdana Menteri yang membuat lawatan ke tapak runtuhan itu mengumumkan Kerajaan Persekutuan memberi sumbangan RM10,000 untuk setiap mangsa yang meninggal dunia dalam runtuhan tanah di Batang Kali dan RM1,000 diberikan kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak terbabit dengan kematian.
Comments