top of page

Selangor selesaikan isu pengosongan tanah WCE sebaik mungkin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 minutes ago
  • 1 min read

ree

Kerajaan Negeri Selangor komited membantu sebaik mungkin bagi menyelesaikan isu pengosongan tanah di Kampung Jawa, Klang yang terlibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, semua proses termasuk perbincangan melibatkan 19 penduduk terlibat, penilaian pampasan serta perbicaraan di mahkamah telah dijalankan dengan telus dan mengikut prosedur sewajarnya.


"Proses telah dilalui sepenuhnya. Sudah pergi ke mahkamah, dah proses ke timbang tara. Ia (jumlah pampasan) bukan ditentukan oleh pihak pemaju, ia ditentukan oleh pihak penimbang tara yang saya rasa menilai secara saksama dan adil.


"Saya berharap semua bertanggungjawab. Kita akan bantu sebaik mungkin untuk selesaikan isu ini. Takkan 150 meter (yang tergendala) akan menjejaskan keseluruhan jajaran WCE," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) di Kuala Selangor pada Isnin.


Turut hadir pada acara itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah.


Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer, setakat ini lapan dari 11 bahagian lebuh raya itu telah dibuka untuk digunakan.


Dijadulkan siap sepenuhnya pada 2027, ia berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laluan tersebut menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak


Berdasarkan laporan media, proses pengambilan tanah diselesaikan secara sah bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2023, namun sebahagian pemilik tanah enggan mengosongkan tapak itu walaupun 75% daripada pampasan berjumlah RM9.85 juta sudah dibayar.


Semalam, kerajaan Selangor bersetuju memberikan tambahan dua minggu hingga 24 November kepada penduduk yang terlibat dalam arahan mengosongkan tanah masing-masing bagi pembinaan Lebuhraya tersebut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page