top of page

'Selangor sedia makanan percuma pelajar, bantuan jemaah haji RM1,500'

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • Apr 26
  • 2 min read
Ahmad Azri berucap dalam ceramah isu semasa Pakatan Harapan Selangor Parlimen Gombak, semalam
Ahmad Azri berucap dalam ceramah isu semasa Pakatan Harapan Selangor Parlimen Gombak, semalam

Kerajaan Selangor terus mengekalkan fokus terhadap kebajikan rakyat dengan menyediakan makanan kepada pelajar sekolah serta menyalurkan bantuan kewangan kepada jemaah haji di negeri itu.


Setiausaha KEADILAN Gombak, Ahmad Azri berkata, pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan keperluan asas rakyat, khususnya golongan memerlukan, terus diberi perhatian.


Sebagai contoh katanya, menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), kerajaan bukan sahaja menyediakan modul pembelajaran, malah turut memastikan kebajikan pelajar dijaga termasuk penyediaan makanan.


"Anak-anak ini sebelum masuk ke kelas, kita pastikan mereka makan dahulu supaya mereka dapat belajar dengan lebih selesa dan fokus. Inisiatif itu penting bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya tidak tercicir dalam pendidikan.


"Pendekatan ini menunjukkan Kerajaan Negeri melihat pendidikan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik.


"Ini yang membezakan kita, kita jaga kebajikan pelajar secara menyeluruh, bukan sekadar beri bahan pembelajaran," katanya dalam ceramah isu semasa Pakatan Harapan Selangor Parlimen Gombak, semalam.


Hadir sama adalah Anfaal Saari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat & Ekonomi Penjagaan yang juga ADUN Taman Templer.


Dalam pada itu Azri berkata, kerajaan Selangor turut menyediakan bantuan kepada jemaah haji dengan peruntukan sebanyak kira-kira RM9 juta, dengan setiap jemaah menerima RM1,500 sumbangan.


"Setiap jemaah menerima RM1,500 sebagai insentif bagi membantu mereka menunaikan ibadah haji. Kita bantu secara langsung jemaah haji, ini adalah tanggungjawab kita kepada rakyat.


"Setakat ini, kita tidak lihat negeri pembangkang tampil dengan bantuan khusus kepada jemaah haji seperti yang kita lakukan," katanya.


Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu membuktikan Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.


Katanya, usaha berterusan itu juga selari dengan matlamat memastikan tiada golongan yang terpinggir, khususnya dalam pendidikan dan kebajikan sosial.


"Dalam keadaan sekarang, kita perlu mempergiat usaha dan memastikan segala inisiatif ini sampai kepada rakyat. Yang penting adalah hasil dan tindakan, bukan sekadar janji atau retorik," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh agenda kebajikan.


"Kita mahu teruskan dasar-dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat. Dengan sokongan berterusan, kita mampu lakukan lebih banyak lagi untuk rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page