Selangor sedia gudang makanan sendiri hadapi kecemasan
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Selangor menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai gudang makanan sendiri bagi menghadapi kecemasan dengan stok bekalan boleh menampung keperluan untuk tempoh tiga bulan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat permulaan gudang makanan yang terletak di Bandar Sultan Suleiman, Klang menyimpan stok bekalan makanan utama melibatkan 5,000 tan beras dan sejuta kilogram daging beku.
"Jika berlaku kecemasan, bencana besar, atau pandemik dan tidak boleh ada pergerakan, paling tidak, rakyat mempunyai stok selama tiga bulan untuk bertahan.
"Dalam waktu tertentu, boleh menjadi penimbal kepada harga pasaran supaya harga sentiasa berpatutan kepada rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Amirudin menjelaskan, stok gudang makanan Selangor (GMS) tidak disimpan dalam tempoh yang terlalu lama sebaliknya akan diganti secara berterusan.
Kata beliau perkara itu dilakukan dengan pelaksanaan Jelajah Ehsan Rakyat (JER), Ehsan Mart dan pasar borong yang menjadi platform jualan.
"Sebahagian kecil (stok makanan) itu turut boleh dijadikan untuk subsidi yang disimpan kepada rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sudah kenal pasti tapak sebenar GMS di Kuala Selangor yang keluasan kira-kira 4.046 hektar dengan proses dokumentasi sedang dilakukan.
Beliau berkata proses pembinaan itu bakal mengambil masa satu tahun setengah untuk disiapkan sejurus projek itu bermula.
"Keselamatan makanan bukan terhad kepada beras dan daging sahaja, malah akan dikembangkan dari semasa ke semasa.
"Selangor akan terus menerajui masa depan dengan strategi keterjaminan makanan yang mapan dan lestari," kata beliau.