Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah lebih RM15 juta bagi memperkasakan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera menerusi program keusahawan dalam tempoh tiga tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu merangkumi RM7.77 juta untuk tahun ini manakala sebanyak RM1.11 juta dan RM6.44 juta lagi disediakan bagi tahun 2022 dan 2023 bagi pelaksanaan program keusahawanan tersebut.
"Demi pemerkasaan ekonomi orang Melayu, orang Melayu mestilah berkemampuan bersaing di arena domestik mahupun antarabangsa.
"Oleh kerana itu, kita bercita-cita besar mewujudkan pengusaha serta usahawan yang mahu maju ke hadapan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata dana menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) itu, ditingkatkan setiap tahun bagi memastikan program tersebut mencapai objektif melahirkan usahawan Melayu dan Bumiputera berdaya saing di dalam negara dan antarabangsa.
Amirudin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muhaimin Harith Abdullah Sani (PN-Batang Kali) berhubung inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera yang mencapai hampir 71 peratus populasi keseluruhan penduduk di Selangor.
Comments