Selangor sedia bantu keluarga Syamsul Haris tegak keadilan
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor menyatakan solidariti kepada keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berharap siasatan menyeluruh berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dapat dijalankan dengan segera dan telus.
Ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris di Taman Pelangi Semenyih pada Jumaat, Amirudin turut menyatakan kesediaan pihak Kerajaan Negeri memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
"Dalam kes ini, terdapat indikasi seolah-olah berlaku sentuhan fizikal, sesuatu yang langsung tidak boleh diterima dan harus dibanteras sekeras-kerasnya.
"Sebarang bentuk kes buli yang berlaku sama ada secara fizikal mahupun bukan fizikal itu perlu dipandang serius oleh semua pihak," katanya dipetik.
Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu.
Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa terdapat kesan-kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak lelakinya itu terutama di leher, dada yang berdarah, muka dan mata kanan dengan kesan lebam hitam.
Beliau dilapor telah memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya untuk menjalankan bedah siasat kedua selain satu Inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian anaknya.
"Kerajaan Negeri menzahirkan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham Shamsul Haris serta mendoakan agar keluarga Allahyarham diberi keadilan yang sewajarnya," tambah Amirudin.









Comments