top of page

'Psikologi sukarelawan GSF terganggu, semangat juang tidak luntur'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 53 minutes ago
  • 2 min read
Datuk Sany Araby dalam sidang media malam tadi sambil diperhatikan oleh DS Amirudin Shari (kiri sekali)
Datuk Sany Araby dalam sidang media malam tadi sambil diperhatikan oleh DS Amirudin Shari (kiri sekali)

Solidariti kemanusiaan ‘tanpa senjata’ menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilihat semakin memberi tekanan terhadap Israel apabila gerakan membawa bantuan makanan dan pendedahan media antarabangsa mula menghakis sokongan terhadap rejim itu.


Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, meskipun psikologi sukarelawan GSF sedikit terganggu, namun semangat juang mereka tidak pernah luntur.


"Saya bangga dengan semua yang ada di belakang saya. Mereka tidak menyerah kalah (meskipun psikologi terganggu).


"Orang selalunya kalau trauma, dia akan terus lari daripada gelanggang. Tetapi pasukan kita ini kali pertama diculik, 176 peserta, tinggal 17 (orang), 10 daripada adalah warganegara Malaysia yang nak pergi semula ke Gaza. Mereka tak takut.


"Trauma orang Malaysia ini berbeza. Dia nak selesaikan (misi) kerana mereka bawa nama negara. Ini satu kebanggaan kita dan malam ini saya akhiri bahawa misi ini berjaya, misi ini menang.


"Kita doakan agar kita semua berada di sisi sejarah yang membela Gaza," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi selepas menyambut ketibaan peserta GSF 2.0.


Sany menyifatkan, misi tersebut juga bukan sekadar pelayaran membawa bantuan kemanusiaan, sebaliknya simbol perjuangan untuk menggugat rejim zionis yang selama ini dilihat kebal tetapi kini menuju kejatuhan.


"Dengan hanya 'senjata' membawa diri, makanan, dan kamera, (ia) boleh menggoncang Israel.


"Kita tak ada kekuatan membawa senjata, kita hanya ada kekuatan membawa jiwa mewakili negara, dan hari ini kita diizinkan oleh Allah untuk melihat sudah ada kemajuan bahawa rejim Israel ini sedang goyah ditentang oleh sekutu mereka," ujarnya lagi.


Sidang media malam tadi turut dihadiri Ketua Delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa pimpinan lain yang aktif dlam gerakan membela nasib Gaza.


Amirudin dalam ucapannya berkata, Malaysia tidak akan berdiam diri susulan delegasi GSF 2.0 berdepan tekanan psikologi dan ancaman serta menerima serangan fizikal.


Beliau berkata, pasukan peguam kini sedang mengumpul dokumen dan bukti berkaitan dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh tentera rejim Israel untuk dibawa ke mahkamah antarabangsa.


Menurutnya, Malaysia juga akan memperhebat tekanan diplomatik serta memperluaskan siri penerangan dan kempen solidariti Palestin di seluruh negara.


"Kita akan turun ke seluruh negara membawa suara perjuangan Gaza kerana ini adalah isu kemanusiaan terbesar abad ini. Terdapat usaha pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu dan menyerang delegasi misi bagi menggagalkan gerakan solidariti Palestin," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page