Selangor sasar 4,000 unit rumah bawah Skim Smart Sewa menjelang 2028
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh iltizam menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik yang selesa kepada rakyatnya.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menyasarkan membina antara 3,000 hingga 4,000 unit rumah di bawah Skim Smart Sewa khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Sekarang kita sudah ada kira-kira 1,000 unit. Jadi saya rasa kita boleh capai antara 3,000 hingga 4,000 unit menjelang 2027 hingga 2028.
"Dari semasa ke semasa, setiap kali siap sahaja projek Rumah Idaman dan Rumah Harapan, bermakna Kerajaan Negeri juga turut akan menerima tambahan unit untuk skim tersebut," katanya dipetik.
Amirudin sebelumnya hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil pada Isnin.
Pada majlis tersebut, seramai 167 keluarga menerima surat tawaran PPR Ampar Tenang sekali gus menamatkan penantian lebih dua dekad untuk memiliki kediaman sendiri.
Projek bernilai lebih RM88 juta itu dibangunkan khas bagi menempatkan semula penduduk Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil, yang diisytiharkan tidak lagi selamat diduduki akibat masalah keretakan struktur serius.
Sebagai rekod, Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan yang belum berpeluang memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.
Menerusi skim ini, penyewa diberikan tempoh minimum dua tahun, dengan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila mereka menamatkan tempoh penyewaan.