Selangor rintis pembangunan modal insan dalam sektor nuklear
- Suara Keadilan

- Oct 1
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus melangkah ke hadapan dalam agenda tenaga hijau dengan memulakan pelan pembangunan sumber manusia bagi sektor teknologi penjanaan tenaga berasaskan nuklear.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu akan dimulakan dengan menghantar beberapa pegawai dan bakat muda ke Tsinghua University, Beijing, China untuk mengikuti pengajian dalam bidang tenaga nuklear.
"Ia masih (di peringkat) awal melihat kemungkinan (Selangor) menggunakan kuasa nuklear sebagai salah satu sumber tenaga, namun kita mulakan dengan pembangunan modal insan terlebih dahulu.
"Kita akan mula dengan menghantar tiga hingga empat pegawai atau bakat dari Selangor yang dikenal pasti sesuai ke sana. Inisiatif itu akan ditanggung sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan kepakaran tempatan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran rasmi Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Pelabuhan Klang pada Selasa.
Amirudin sementara itu menegaskan Selangor komited melaksanakan peralihan tenaga bersih secara berperingkat dengan mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.
Justeru, usaha pembangunan modal insan dalam bidang teknologi nuklear itu akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2026 dan dijangka mula dilaksanakan pada Mac tahun depan.









Comments