Selangor rangka strategi tingkat pengeluaran padi - Exco
- Suara Keadilan

- Jan 31
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka strategi menyeluruh bagi meningkatkan pengeluaran padi sebagai usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada subsidi tinggi.
Exco Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim (gambar) berkata, usaha itu susulan pengeluaran padi di Selangor dianggap masih belum mencapai tahap optimum berikutan beberapa kekangan, termasuk penyakit tanaman dan serangan perosak.
"Walaupun musim penanaman tahun ini menunjukkan petanda yang baik, serangan perosak telah menjejaskan hasil sehingga menurunkannya kepada sekitar empat tan sehektar.
"Beberapa kawasan seperti Sungai Leman dan Sungai Burong mencatatkan hasil yang lebih tinggi, namun banyak kawasan lain masih mencatatkan hasil rendah, menyebabkan purata keseluruhan kekal pada tahap sederhana," katanya dipetik.
Tambah Izham, menerusi pendekatan berimpak tinggi termasuk pengurusan sawah padi secara berskala besar, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan hasil kepada sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tan sehektar.
Kerajaan Negeri juga jelasnya turut merancang mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan serta syarikat swasta bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam pengurusan tanaman padi.
"Kita melihat keperluan untuk menyusun semula sebahagian subsidi sebagai insentif kepada syarikat yang sanggup bekerjasama dengan para pesawah.
"Usaha ini selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) dan Pelan Transformasi Agro Selangor yang menekankan kecekapan pengeluaran serta pengurusan sektor pertanian," tambahnya.




Comments