top of page

Selangor perkukuh strategi jadi hab utama industri aeroangkasa serantau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 10
  • 1 min read

ree

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen bagi memastikan negeri itu muncul sebagai hab utama industri aeroangkasa serantau.


Exco Pelaburan, Ng Sze Han (gambar) berkata, Kerajaan Negeri bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merangka lima strategi bersepadu bagi memastikan projek Selangor Aero Park (SAP) @KLIA Aeropolis berjaya menarik pelaburan asing berimpak tinggi.


Jelasnya, strategi pertama yang dilaksanakan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor ialah bagi membangunkan ekosistem bertaraf dunia dan menyediakan akses pasaran global dengan kehadiran syarikat utama seperti Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems.


"Ekosistem masa depan ini akan menggalakkan inovasi melalui akses kepada penyelidikan & pembangunan (R&D), kemudahan khusus serta kerjasama dengan institusi akademik dan rakan industri terkemuka," katanya ketika sesi Dewan Negeri Selangor semalam.


Sze Han sementara itu turut menjelaskan SAP akan disokong oleh sistem tadbir urus berfokus pelabur yang akan mempercepatkan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


"Dengan tadbir urus ini, proses penempatan syarikat serta pembangunan fizikal termasuk kelulusan projek dan pelesenan akan menjadi lebih pantas dan efisien," katanya dipetik.


Tambahnya, penubuhan Aerospace Talent Centre pula bakal menjadi hab pembangunan bakat khusus, selain melaksanakan program pembangunan kemahiran masa depan menerusi kerangka MyAERO.


"Strategi seterusnya ialah penyediaan kemudahan logistik bersepadu dengan sambungan pengangkutan multimodal memandangkan SAP terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," jelasnya.


Terletak dalam kawasan KLIA Aeropolis, SAP mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion dan akan dibangunkan secara berfasa.


Ia dijangka menyumbang RM55.2 bilion kepada pendapatan tahunan industri aeroangkasa negara serta mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page