top of page

Selangor perkukuh sokongan untuk golongan OKU mulai tahun depan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 days ago
  • 1 min read
ree

Kerajaan Selangor bakal menjenamakan semula Program Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) bermula tahun depan.


Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar) berkata penjenamaan semula Bantuan Rahmah Insan Istimewa (BRIS) bermula tahun depan, bertujuan memperkukuh sokongan menyeluruh kepada orang kurang upaya (OKU) di negeri ini serta penjaga mereka, merangkumi bantuan kewangan dan bukan kewangan.


"Tahun hadapan kita akan tingkatkan lagi bantuan ini dengan penjenamaan baharu sebagai Bantuan Rahmah Insan Istimewa atau BRIS. Untuk peringkat awal, kita sasarkan peruntukan RM1 juta.


"Terdapat juga bantuan yang tidak semestinya berbentuk kewangan seperti saringan awal dan perkhidmatan klinik bergerak.


"Ia dirancang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan bagi mengenal pasti kanak-kanak atau pelajar di sekolah yang mempunyai keperluan khas," katanya dipetik.


Anfaal berkata begitu selepas merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Selayang, pada Sabtu.


Program ANIS dilaksanakan sejak 2019 menyediakan bantuan kepada keluarga yang mempunyai anak OKU bagi mengurangkan beban kos pengurusan dan perbelanjaan.


Bantuan bersifat sekali beri (one-off) itu melibatkan jumlah maksimum sehingga RM5,000 setahun bagi setiap isi rumah, merangkumi perbelanjaan pendidikan dan pembelajaran seperti pusat terapi atau kelas khas, keperluan ubat-ubatan, pembelian mesin perubatan serta barangan berkaitan.


Sepanjang tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM940,000 kepada penerima yang layak mendapat manfaat dibawah program tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page