Selangor perkukuh program saringan kesihatan warga emas
- Suara Keadilan

- Oct 22
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkukuh usaha penjagaan kesihatan warga emas melalui Program Saringan Kesihatan Warga Emas Selangor, sebagai langkah proaktif mengesan risiko awal dan menggalakkan penuaan sihat.
Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata inisiatif berasaskan komuniti itu mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang menekankan pencegahan lebih berkesan dan menjimatkan berbanding rawatan lewat.
"Selangor mempunyai jumlah warga emas tertinggi di Malaysia. Ini datang bersama tanggungjawab membina sistem kesihatan yang lestari serta memastikan pengesanan awal penyakit kronik," katanya dipetik.
Menurut Jamaliah yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, setakat Oktober lebih 1,100 warga emas telah menjalani saringan di enam daerah utama. Daripada jumlah itu, 37 peratus dikenal pasti dalam kategori pra-lemah atau lemah, manakala 35 peratus mengalami kekurangan zat atau berisiko malnutrisi.
"Mereka dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran untuk rundingan perubatan, nasihat pemakanan dan rawatan susulan bagi memastikan penjagaan berterusan.
"Sebagai galakan penjagaan kendiri, setiap peserta turut menerima diari senaman dan pemakanan bagi mengamalkan gaya hidup aktif," jelasnya.
Beliau sementara itu turut menegaskan bahawa kesedaran terhadap kesihatan usia lanjut masih rendah dan perlu dipupuk seawal usia pertengahan.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh jaringan dengan NGO, penyedia kesihatan dan institusi penyelidikan bagi memastikan capaian dan kesinambungan program di seluruh negeri.
"Kita mahu warga emas menerima penjagaan menyeluruh dan berterusan, bukan hanya selepas keadaan menjadi serius. Penuaan aktif bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama seluruh masyarakat," tegasnya.









Comments