top of page

Ibu bapa perlu beri perhatian, tanya perkembangan anak-anak - Fadhlina

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
42 minutes ago
2 min read
Datuk Seri Fadhlina Sidek. Gambar arkib
Datuk Seri Fadhlina Sidek. Gambar arkib

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menggesa agar sokongan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak terus diperkukuh.


Beliau berkata, sokongan tidak bermakna ibu bapa perlu menguasai kurikulum atau membantu kerja sekolah anak mereka secara langsung, sebaliknya menerusi perhatian terhadap perkembangan persekolahan mereka.


"Yang dimaksudkan dengan sokongan itu, bukannya kita perlu menghafal semua kurikulum anak-anak kita kerana kurikulum itu memang dibuat untuk mereka, bukan untuk ibu bapa. Bukannya juga kita minta ibu bapa duduk tiga jam membuat kerja sekolah bersama mereka.


"Sebaliknya, sokongan adalah dengan bertanya kepada anak-anak kita. ‘Kamu okey hari ini? Bagaimana sekolah? Bagaimana guru dan rakan-rakan? Ada buli di sekolah?’ Itu yang diperlukan oleh anak-anak kita," katanya dipetik pada Malam Gala 100 Tahun Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (TIKL).


Laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) terkini mendedahkan bahawa sokongan terhadap pendidikan anak-anak mengalami penurunan ketara, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.


Kegagalan menangani isu tersebut dikhuatiri menjejaskan anak-anak secara langsung, khususnya dari segi ketahanan diri dan sokongan pendidikan, menurut Fadhlina.


"Anak-anak kita adalah antara pelajar yang paling berdaya tahan di dunia. Datanglah apa jua cabaran, anak-anak kita mampu mengharunginya dan mereka kekal dalam sistem pendidikan yang baik


"Namun, sekiranya isu tersebut tidak diatasi, ia dibimbangi memberikan kesan langsung kepada anak-anak, termasuk dari segi ketahanan diri serta pendidikan mereka," kata Ketua Wanita KEADILAN itu.


Sementara itu, Fadhlina turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu buli siber yang boleh menjejaskan pendidikan dan kesejahteraan anak-anak jika tidak dibendung.

"Kalau buli tradisional, ia berakhir setakat pagar sekolah. Tetapi buli siber ikut anak-anak kita masuk ke bilik tidur, masuk ke rumah, ruang tamu dan dapur, semuanya melalui telefon pintar.


"Ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu memainkan peranan bersama dalam membimbing anak-anak menggunakan telefon pintar serta media sosial secara bertanggungjawab," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page