Selangor perkukuh komitmen hadapi cabaran perubahan iklim
- Suara Keadilan

- Nov 2
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan memberi tumpuan kepada perlindungan tanah gambut sebagai antara langkah utama menghadapi kesan perubahan iklim.
Exco Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, ekosistem tanah gambut amat penting bukan sahaja bagi keseimbangan alam, tetapi juga kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
"Perlindungan tanah gambut berperanan besar dalam menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu yang semakin membimbangkan," katanya dipetik ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar 2025 Peringkat Negeri Selangor di Paya Indah Wetlands, Dengkil, pada Sabtu.
Acara anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk Peat Run 4 Environment, senamrobik, Jualan Ehsan Rahmah pemeriksaan kesihatan, aktiviti mewarna serta sesi pocket talk berkaitan kesedaran alam sekitar.
"Sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri itu menjadi platform penting untuk menyampaikan mesej bahawa tanggungjawab memelihara alam sekitar perlu digalas bersama oleh semua pihak," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah melancarkan Dasar Perubahan Iklim Selangor pada 25 November 2024 sebagai panduan strategik ke arah pembangunan mampan.
"Bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar, Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) telah dirasmikan bagi menghubungkan dasar, teknologi dan kerjasama.
"Ia bagi memastikan Selangor sentiasa bersedia mendepani cabaran perubahan iklim di masa hadapan," jelasnya.









Comments