Selangor perkukuh kedudukan Islam, Ahli Sunnah Waljamaah pegangan rasmi
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Selangor memperkukuhkan kedudukan agama Islam menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 yang menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai pegangan rasmi pentadbiran hal ehwal Islam selain memperkasa institusi Mahkamah Syariah di negeri itu.
RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah (gambar) pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Fahmi berkata cadangan pindaan itu bertujuan memperkukuhkan kedudukan institusi agama Islam dan sistem kehakiman syariah di Selangor melalui dua perkara utama iaitu pegangan ASWJ dan kedudukan Mahkamah Syariah.
"Yang pertama memperuntukkan dengan jelas bahawa agama Islam di negeri Selangor ialah mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana dianuti dan diamalkan di negeri ini mengikut definisi dan tafsiran khusus dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
"Bahagian kedua ialah mewujudkan satu bab baharu berhubung kehakiman syariah bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman negeri," katanya ketika membentangkan RUU itu dipetik laporan media.
Beliau berkata pindaan berkenaan bukan bertujuan mengubah kedudukan agama Islam di Selangor, sebaliknya memperjelas dan memperkukuhkan pegangan yang sekian lama menjadi asas pentadbiran agama Islam berdasarkan sejarah, undang-undang dan amalan di negeri itu.
Menurutnya, pengiktirafan secara jelas terhadap pegangan ASWJ juga selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Majlis Raja-Raja, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta fatwa negeri Selangor yang telah diwartakan.
Fahmi berkata cadangan pindaan itu merupakan kesinambungan kepada pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang diwartakan pada 2025 bagi memperkukuhkan pegangan ASWJ sebagai asas pentadbiran agama Islam.
Katanya menerusi pindaan tersebut, pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mufti, Timbalan Mufti, anggota Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah terdiri daripada individu yang beragama Islam serta berpegang kepada ASWJ.
Beliau berkata proses penyediaan pindaan itu bukan dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya melalui kajian dan libat urus yang bermula sejak 2020 melibatkan pelbagai agensi termasuk MAIS, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara serta ahli akademik.
Katanya pendekatan berperingkat itu membolehkan setiap cadangan diperhalusi sebelum dimuktamad dan diperkenankan Sultan Selangor pada 19 Mac lalu.
Mengulas rasional penetapan ASWJ dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Fahmi berkata langkah itu akan menyediakan asas rujukan yang jelas kepada Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri, MAIS, Jabatan Mufti dan agensi berkaitan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Tanpa penjelasan yang khusus, perbezaan pendekatan boleh berlaku dalam aspek pengeluaran fatwa, pengurusan tauliah mengajar agama, penyediaan dasar serta pelaksanaan program berkaitan Islam.
"Dengan adanya penetapan tersebut, segala keputusan berkaitan agama Islam termasuk fatwa, dasar dan tindakan pentadbiran dapat dilaksanakan berdasarkan prinsip akidah, syariah dan akhlak yang selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata RUU berkenaan turut memasukkan bab baharu mengenai kehakiman syariah bagi memberikan pengiktirafan terhadap Mahkamah Syariah pada peringkat undang-undang tubuh negeri.
Menurutnya, pindaan itu memperuntukkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah selain memperjelaskan kuasa kehakiman syariah, pelantikan hakim syarie, kuasa menghukum kerana penghinaan mahkamah, sumpah jawatan serta perlindungan terhadap kebebasan institusi kehakiman syariah.
"Berbeza dengan mahkamah sivil yang mendapat pengiktirafan secara langsung melalui Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah tidak diperuntukkan secara jelas dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.
"Oleh itu, pindaan ini bertujuan memberikan pengiktirafan pada peringkat perlembagaan negeri terhadap institusi Mahkamah Syariah," katanya.
