Selangor perkenal inisiatif perkasa kesiapsiagaan kanak-kanak
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor memperkukuh agenda kebajikan keluarga dengan memperkenal Projek 1,000 Hari Pertama Kanak-Kanak .
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, projek yang dijangka bermula Jun ini merupakan inisiatif strategik membina asas perkembangan fizikal, kognitif dan emosi kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.
Langkah itu sekaligus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan awal kanak-kanak diberi perhatian serius, khususnya dalam tempoh enam tahun pertama kehidupan yang kritikal.
"Tempoh enam tahun pertama kehidupan seorang anak merupakan fasa paling kritikal dalam pembentukan sahsiah serta perkembangan minda kanak-kanak.
"Dari sudut kebajikan, keperluan asas seperti pemakanan sihat dan mencukupi amat penting bagi membangunkan keupayaan kognitif serta kesiapsiagaan mereka ke alam persekolahan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Edisi Khas Ahli Majlis di Hulu Langat pada Sabtu.
Anfaal turut memaklumkan Projek 1,000 Hari Pertama Kanak-Kanak akan menjadi antara fokus utama Jelajah Wanita Selangor bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan fasa awal perkembangan anak.
Fasa awal pelaksanaan projek itu akan melibatkan lima zon iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Gombak dan Petaling, sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.









Comments