Selangor perhebat penyelenggaraan jalan dengan teknologi kitar semula
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memastikan keselesaan rakyat di negeri itu dengan memperhebat kerja penyelenggaraan jalan menggunakan teknologi turapan berasaskan kaedah guna semula dan kitar semula bahan jalan raya sedia ada.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, dengan penggunaan jentera berteknologi tinggi dan mesra alam, kerja-kerja tampalan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat sekaligus menjimatkan kos serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
"Ini merupakan satu pemangkin perubahan kerana teknologi ini telah digunakan lebih 20 tahun di Jepun, namun masih belum dikembangkan secara meluas di luar negara.
"Sebelum ini, kerja penurapan jalan menghasilkan lebihan bahan yang lazimnya disumbangkan kepada sekolah atau digunakan untuk jalan kampung tanpa proses guna semula. Namun menerusi teknologi ini, sisa tersebut akan dicampurkan bersama bahan aditif ke dalam mesin.
"Di Malaysia, Selangor menjadi negeri pertama membeli peralatan ini," katanya dipetik.
Beliau ditemui media selepas Majlis Demonstrasi Mesin Turapan Jalan Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR) di Tapak Pasar Malam Banting, Kuala Langat pada Selasa.
Izham sementara itu memaklumkan bahawa rundingan harga bersama Kyuken Sogo Kaihatsu Co Ltd sedang dijalankan bagi mendapatkan jentera tersebut dengan kos dianggarkan tidak melebihi RM1 juta bagi kira-kira enam unit jentera AsRR.
Dengan adanya teknologi tersebut jelasnya, berdasarkan kiraan mampu menjimatkan sehingga 69 peratus kos operasi.
"Dengan penjimatan ini, lebihan dana boleh digunakan untuk keperluan tampalan di lokasi lain," tambahnya lagi.





