Selangor pelopori inisiatif kebajikan dan sekuriti makanan
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor terus melaksana pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya B40 dan M40.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha-usaha yang dilaksana termasuk Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah (JER) merupakan komitmen pihaknya memperkukuh agenda kebajikan rakyat termasuk jaminan sekuriti makanan.
"Saya hadir merasmikan Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Padang Awam Batu Caves, Gombak yang bukan sekadar karnival jualan murah, tetapi sebagai wadah menyantuni rakyat dengan kasih dan keprihatinan.
"Karnival anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diskong usahawan tempatan, peniaga kecil dan agensi kerajaan membantu rakyat mendapatkan barangan asas dengan harga lebih rendah.
"Program ini juga membuktikan Selangor mempelopori inisiatif kebajikan rakyat dan jaminan sekuriti makanan disamping juga menyokong produk tempatan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Karnival 100 JER menawarkan barangan asas 15 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa, memberi manfaat kepada lebih tujuh juta rakyat Selangor di 100 lokasi serentak
Antara barangan yang dijual termasuk beras, ayam, telur, ikan, sayur-sayuran serta barangan kering
Menerusi hantaran sama, Amirudin menyatakan komitmen pentadbirannya untuk terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh agenda kebajikan rakyat, memantapkan ekonomi negeri dan memastikan kelestarian sekuriti makanan demi kesejahteraan generasi akan datang.