Selangor pacu transformasi negeri pintar menerusi pelancaran SMC
- Suara Keadilan

- Aug 15
- 1 min read

Negeri Selangor selangkah lagi menuju status negeri pintar menerusi pelancaran Selangor Multi-Cloud Services (SMC) yang disempurnakan semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata SMC akan menjadi pemacu utama dalam mempercepat adaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital di negeri itu, selaras dengan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.
"SMC akan memperkukuh infrastruktur digital negeri, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, dan memperkasa sektor seperti pembangunan bandar pintar, sistem kerajaan pintar serta pendidikan digital.
"Langkah ini akan membawa Selangor ke arah sebuah negeri berdaya digital dan bersedia untuk AI.
"Ini juga bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan visi Negeri Pintar Selangor yang inklusif, progresif dan berpaksikan rakyat," katanya dipetik pada Majlis Pelancaran SMC di Petaling Jaya.
Menurut Amirudin, inisiatif strategik Kerajaan Negeri ini dilaksanakan oleh SMARTSEL Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh MBI Selangor, dengan kerjasama VSTECS Berhad, Awantec Systems Sdn. Bhd.
Ia turut disokong oleh gergasi teknologi Amazon Web Services (AWS), Alibaba Cloud dan Google Cloud.
"Dengan mematuhi piawaian keselamatan dan kedaulatan data peringkat kebangsaan, SMC memastikan transformasi digital Selangor kekal selamat, inklusif dan berdaya saing.
"Kerjasama strategik bersama rakan teknologi global berupaya menggalakkan penerapan penyelesaian multiawan yang selamat, mudah diperluas dan menjimatkan kos sekali gus mempercepat usaha transformasi digital di peringkat negeri," tambahnya.









Comments