Selangor pacu agenda hab pembelajaran teknologi digital, e-dagang
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Selangor mengorak langkah besar dalam usaha memposisikan negeri itu sebagai hab pembelajaran serantau dalam bidang teknologi digital dan e-dagang.
Hal ini susulan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Selangor Technical Development Centre (STDC), APR Electronic Services Sdn. Bhd. dan Guangdong Cross-border Product Trade Association (GCCTA) di Shunde, Guangdong.
"Kerjasama strategik itu akan mengukuhkan peranan STDC sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Melalui jaringan industri GCCTA yang melibatkan syarikat besar seperti Midea COLMO, China Unicom dan YTO Express, pelatih TVET di Selangor akan menerima pendedahan praktikal yang lebih berkualiti serta peluang lebih luas dalam sektor e-dagang bernilai tinggi," kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian di Facebook.
Amirudin sebelumnya menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut yang diadakan di pusat incubator teknologi robotic Guangdong Women’s Polytechnic College di Shunde Guang Dong
Beliau bersama delegasi dalam misi perdagangan dan pelaburan sembilan hari ke China yang dijadualkan berakhir hari ini.
Amirudin sementara itu menegaskan, antara tumpuan utama misi kali ini ialah meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang TVET.
Justeru, Selangor akan melaksanakan kolaborasi bersama Guangdong Women’s Polytechnic College melalui inisiatif Women in TVET bagi memperkasa lebih ramai wanita menceburi bidang teknikal, digital dan e-dagang.









Comments