Selangor-N Sembilan berpotensi jadi koridor ekonomi baharu
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 1 min read

Sinergi pembangunan strategik antara Selangor dan Negeri Sembilan berpotensi mewujudkan koridor pertumbuhan ekonomi baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar).
Menurutnya kedudukan geografi kedua-dua negeri yang berjiran memberikan kelebihan strategik dan mampu memperkukuh daya saing wilayah tengah negara menerusi jaringan pelaburan, pembangunan industri berteknologi tinggi serta infrastruktur logistik yang lebih bersepadu.
"Trend pembangunan Selangor bergerak ke arah selatan, khususnya Sepang dan Kuala Langat, manakala Negeri Sembilan mempunyai Nilai dengan kawasan pembangunan hab teknologi serta kawasan sekitarnya.
"Ini membuka peluang untuk membangunkan kawasan antara dua negeri. Sebagai contoh, kedudukan Selangor Aero Park yang berhampiran kawasan Negeri Sembilan merupakan satu daya tarikan kepada pelabur.
"Menggabungkan kekuatan kedua-dua negeri berpotensi mewujudkan koridor pertumbuhan ekonomi yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan," katanya menurut laporan Bernama.
Menurut Amirudin, kelebihan strategik koridor berkenaan yang iperkukuh dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), rangkaian lebuh raya utama serta perkembangan sektor teknologi dan industri bernilai tinggi mampu memberi nilai tambah kepada sektor pembuatan, logistik, teknologi dan perkhidmatan di kedua-dua negeri.
Malah hubungan pembangunan yang lebih erat antara kedua-dua negeri dapat memudahkan penyelarasan isu berkaitan pelaburan, infrastruktur dan perancangan kawasan tanpa dibatasi sempadan pentadbiran.
"Kerjasama strategik antara Selangor dan Negeri Sembilan mencerminkan pendekatan pembangunan baharu yang menekankan penyelarasan antara negeri bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan yang sekali gus akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau," tambahnya.
