top of page

Selangor mampu jadi peneraju pendidikan digital negara - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 12
  • 2 min read
ree

Kerajaan Selangor bertekad untuk memperkasakan generasi akan datang dengan kemahiran digital bagi memastikan mereka bersedia menghadapi kepesatan arus pembangunan global.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak kerajaan negeri menyambut baik pelancaran inisiatif Advancing Future Skills for All (FS4A) Selangor Scale-Up - latihan kemahiran bersifat masa depan membabitkan guru dari 120 sekolah di negeri itu.


"Program ini sejajar dengan aspirasi di bawah Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, khususnya Teras 1 yang menekankan pertumbuhan ekonomi melalui transformasi digital, dan Teras 3 menumpukan akses pendidikan berkualiti, inklusif, dan saksama.


"Inisiatif strategik disokong Google dan dilaksanakan oleh ARUS Academy dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, UNICEF, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan CelcomDigi ini contoh terbaik dalam kerjasama antara sektor awam dan swasta," katanya.


Amirudin sebelumnya berucap pada perasmian FS4A - Selangor Scale-Up di di CelcomDigi Hub, Subang pada Rabu.


Tumpuan utama program tersebut adalah untuk melatih guru Sains Komputer dan Reka Bentuk dan Teknologi serta pegawai pendidikan daerah untuk memimpin bengkel digital secara rakan-ke-rakan, khususnya di komuniti yang kurang mendapat akses.


CelcomDigi dalam satu kenyataan memaklumkan, untuk fasa pertama program akan membabitkan sekolah di daerah pendidikan Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana dan Klang. Seramai 48 guru akan menjalani sesi intensif selama sehari untuk menjadi Jurulatih Utama bagi daerah masing-masing.


"Dengan bantuan Pegawai Pendidikan Daerah, jurulatih itu akan mengetuai Fasa Kedua menerusi bengkel kemahiran digital secara praktikal di 10 sekolah di daerah masing-masing, melibatkan lebih 120 guru dan pelajar daripada 40 sekolah sepanjang Julai hingga Ogos.


"Untuk Fasa Ketiga pula, guru-guru yang telah dilatih akan melaksanakan bahan latihan FS4A di bilik darjah, melibatkan lebih 13,000 pelajar di 88 sekolah yang akan dilengkapi kemahiran digital," kata kenyataan itu.


CelcomDigi juga memaklumkan, sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima geran untuk melaksanakan projek pembelajaran digital berasaskan sekolah yang disesuaikan mengikut keperluan pelajar.


Sementara itu Amirudin percaya Selangor mempunyai potensi untuk menjadi peneraju dalam pendidikan digital di negara ini.


"Inisiatif ini membuktikan tiada yang mustahil apabila kita padankan visi dengan tindakan selain sentiasa meletakkan rakyat nadi kepada kemajuan.


"Insya-Allah, kita akan membina sebuah Selangor yang bukan sahaja pintar dan saling berhubung, tetapi juga inklusif, berdaya upaya dan bersedia menghadapi segala cabaran mendatang," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page