Selangor lulus usul dasar pembangunan kanak-kanak
- Suara Keadilan
- Mar 18, 2023
- 1 min read

Selangor menjadi negeri pertama meluluskan usul Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri dan Pelan Tindakan 2022-2025.
Usul itu yang dibawakan Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud dan dibahas tujuh Ahli Dewan Negeri telah diluluskan secara sebulat suara semalam.
Speaker Ng Suee Lim ketika ditemui media di Dewan Negeri Selangor sebaik tamat persidangan berkata, dasar tersebut akan diteliti oleh Kerajaan Negeri pada penggal akan datang, atau dibawa ke peringkat Persekutuan untuk dijadikan panduan.
"Tiada negeri lain yang bentang dasar kanak-kanak sepanjang lima tahun. Selangor teliti daripada semua aspek sosial, ekonomi, kebudayaan dan isu kanak-kanak pun kita tidak terlepas.
"Inilah kerajaan yang mesra rakyat, berketerampilan dan faham denyut nadi rakyat.
"Kita ucap tahniah kepada Kerajaan Negeri, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Siti Mariah," katanya.
Siti Mariah ketika membentangkan usul tersebut berkata, ia adalah perancangan strategik yang memfokuskan 10 domain utama iaitu persediaan keibubapaan dan prakelahiran, kesihatan, perkembangan sosial dan komunikasi.
Selain itu, perancangan dikemukakan adalah termasuk pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, kesejahteraan kekeluargaan, pendidikan (peringkat rendah dan menengah), peranan teknologi dalam perkembangan kanak-kanak, infrastruktur dan keselamatan, sosioekonomi dan penglibatan pemegang taruh.
"Melalui dasar ini, disertakan pelan tindakan strategik yang sedang dan akan dilakukan bagi mencapai matlamat utama digariskan dalam setiap domain utama.
"Melalui pelan tindakan ini, pembangunan program dan inisiatif berkaitan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara strategik dan bersesuaian dengan latar belakang demografi dan psikografi kanak-kanak di Selangor," katanya.
Sehubungan itu Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu berharap dengan adanya pelan itu, ia akan memberi panduan jelas dan sistematik untuk pembangunan kanak-kanak yang sejahtera di Selangor dan golongan itu akan mendapat manfaat terbaik selaras tema ‘Anak Selangor, Anak Kita’.
Comments