Selangor lulus Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) 2026-2030
- Azuan Ab Rahman

- 2 days ago
- 1 min read

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Selangor 2026-2030 pada minggu lalu.
Exco Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari (gambar) berkata, dasar itu memberi penekanan kepada pembangunan prasarana, selaras usaha Kerajaan Negeri memperkukuh hak serta inklusiviti golongan berkenaan.
"Perjuangan memperkasa hak dan inklusiviti OKU bukanlah perjalanan singkat, ambil masa bertahun-tahun dengan pelbagai usaha, suara dan harapan dan akhirnya membuahkan hasil.
"InsyaAllah, kita terus melangkah dengan tekad menjadikan Selangor sebuah negeri yang benar-benar inklusif," katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Sementara itu menurut beliau, dasar tersebut merupakan hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperjuangkan kepentingan komuniti OKU.
Ia bukan sekadar menumpukan aspek kebajikan, malah akan menjadi panduan kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam merangka pembangunan yang lebih inklusif.
Sebagai rekod, Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron pada Januari lalu berkata dasar berkenaan menggariskan lima teras strategik meliputi jangka pendek dan panjang.
Lima teras tersebut merangkumi kesejahteraan hidup dan kesaksamaan, pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat, produktiviti pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta reka bentuk sejagat selain tadbir urus dan advokasi OKU.




Comments