top of page

Selangor lancar perkhidmatan ambulans percuma, ringankan beban rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 8
  • 1 min read

DS Amirudin melancarkan Program Ambulans Kita Selangor (AKS)
DS Amirudin melancarkan Program Ambulans Kita Selangor (AKS)

Kerajaan Negeri Selangor terus menunjukkan komitmen terhadap agenda kebajikan rakyat menerusi pelancaran Program Ambulans Kita Selangor (AKS) pada Jumaat.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata inisiatif baharu yang menyediakan perkhidmatan ambulans percuma bagi golongan berpendapatan rendah dan memerlukan itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri memastikan akses kesihatan yang adil dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.


"Sebanyak 48 buah ambulans disediakan dalam fasa pertama, melibatkan tiga daerah utama — Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor — yang merangkumi 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Menurut Amirudin, perkhidmatan ini menawarkan penghantaran satu atau dua hala secara percuma bagi golongan berpendapatan di bawah RM5,000, pesakit terlantar serta mereka yang memerlukan sokongan oksigen semasa perjalanan ke fasiliti kesihatan awam.


Tambahnya, penugasan ambulans diselaraskan bersama St. John Ambulans Malaysia - Negeri Selangor bagi memastikan operasi berjalan dengan cekap dan berkesan.


"Permohonan boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di daerah masing-masing," katanya.


Menerusi hantaran tersebut, Amirudin turut menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi juga menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkukuh sistem tindak balas kecemasan di negeri itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page