top of page

Selangor lancar fasa pertama SILP, majukan kawasan Melayu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 29
  • 1 min read

MB Selangor meninjau fasa pertama projek yang akan menaikkan ekonomi di kawasan Melayu
MB Selangor meninjau fasa pertama projek yang akan menaikkan ekonomi di kawasan Melayu

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor melancarkan secara rasmi fasa pertama Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Selangor (SILP) di Sekinchan pada Sabtu.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek strategik dengan pelaburan awal RM500 juta itu bakal menjadi pemangkin transformasi pantai barat negeri Selangor khususnya Sabak Bernam sekaligus memperkukuh ekonomi dan sektor perikanan negeri.


"Pelabuhan moden ini akan menjadi pemangkin transformasi Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan laut, perkhidmatan maritim, dan pelancongan lestari.


"Ia merupakan komponen utama dalam pembangunan wilayah Sabak Bernam Development Area (SABDA) di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) meliputi pembangunan agro bernilai tinggi bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan jangka panjang tempatan.


"SILP bakal meningkatkan hasil pertanian sebanyak lima peratus, sekaligus menjadikan pantai barat Selangor sebagai hab ekonomi," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Fasa pertama projek dijangka bermula menjelang akhir 2026 meliputi kawasan seluas 84 ekar dan 80 peratus pembangunan di kawasan laut.


Dilaksanakan melalui model perkongsian awam-swasta antara MBI Selangor dan Sekinchan Development Holdings, ia merangkumi pembinaan jeti berpusat dan kompleks perikanan moden, dewan lelongan dan pasar ikan baharu dan hab logistik makanan laut.


Pembangunan turut membabitkanpenambahbaikan pesisir, pantai awam, kemudahan runcit dan penginapan selain dok suai arus dan zon parkir bot serta zon pembinaan dan penyelenggaraan bot.


"Inilah komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan dari darat, udara hingga ke laut, dari utara hingga ke selatan negeri ini demi masa depan seluruh rakyat Selangor," tambah Amirudin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page