Krisis politik yang melanda Perak dan serangan berterusan media pro-Perikatan Nasional (PN) berikutan masalah ganguan bekalan air dilihat tidak akan menggugat kerajaan Selangor.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Hee Loy Sian berkata PN tidak mempunyai nombor apatah lagi majoriti untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri.
Sebaliknya sejak dua bulan lalu, katanya, kerajaan PN pula yang dilihat bergolak hebat dan semakin lemah.
"Walaupun mereka (PN) kata mereka dapat kerajaan pusat, selepas itu Selangor tetapi mereka tiada nombor, hanya 4 - 5 orang (Ahli Dewan Negeri). Mereka tidak ada nombor.
"Hasrat mereka nak ambil alih kerajaan Selangor adalah mimpi di siang hari. Mereka tiada kekuatan dan mereka memang ditolak oleh rakyat Selangor.
"Sebaliknya mereka pula kini menghentam sesama sendiri. Ia tidak menjejas KEADILAN di Selangor," katanya.
Hee tidak menolak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan diadakan dalam masa terdekat berikutan rapuhnya persefahaman politik dalam PN.
Namun, katanya, Selangor tidak akan membubarkan Dewan Negeri sekiranya PRU berlaku sebelum 2023.
"Saya tidak menafikan PRU akan diadakan dalam masa terdekat. Kalau kita lihat kucar kacir dalam kerajaan PN hari ini kerana kerjasama antara parti dalam PN tidak kukuh dan lemah.
"Kalau ada PRU di pusat, Kerajaan Negeri tidak ikut. Hanya di pusat, Selangor tiada kesan. Kita kekal di bawah kerajaan PH," katanya lagi.
Selangor merupakan negeri PH yang mantap selepas Pulau Pinang. PH menguasai majoriti hampir 2/3 di Dewan Negeri.
Comments