Selangor kukuh kerjasama strategik dengan Kesatuan Eropah
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor komited memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik global dengan Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu kekal terbuka dan mengalu-alukan semua peluang perniagaan serta pelaburan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan kelestarian jangka panjang.
Sehubungan itu, beliau mengambil kesempatan sempena kunjungan hormat Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Tristan Daerr ke pejabatnya semalam bagi membincangkan potensi kerjasama global antara Selangor dan EU.
"Perbincangan kami merangkumi pengurusan air di Selangor, termasuk peranan Air Selangor, inisiatif mitigasi banjir serta potensi usaha sama EU–Selangor dalam pembangunan infrastruktur berdaya tahan iklim.
"Kami turut meneroka peluang perniagaan dan pelaburan, termasuk cadangan penganjuran Hari Perniagaan EU–Malaysia di Selangor yang berpotensi diadakan seiring dengan Selangor International Business Summit pada Oktober ini," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurut Amirudin, kedua-dua pihak turut membincangkan kehadiran pemain industri EU seperti Airbus di Subang, selain minat EU terhadap pembangunan Selangor Aero Park.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Duta Besar EU turut memuji kejayaan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun lalu dengan tahap profesionalisme yang tinggi.
Rafael juga menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian penting ASEAN, termasuk penerimaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota baharu pertubuhan serantau itu.









Comments