top of page

Selangor komited wujudkan ekosistem bebas plastik - MB

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 7
  • 1 min read

Ekosistem bebas plastik perlu dididik sejak kanak kanak
Ekosistem bebas plastik perlu dididik sejak kanak kanak

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen menjadikan negeri ini sebagai contoh terbaik dalam membina budaya dan ekosistem bebas plastik.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata usaha ini hanya dapat dicapai dengan penglibatan rakyat serta kerjasama erat antara komuniti, NGO, usahawan sosial dan sektor swasta.


"Saya menyeru rakyat Selangor untuk memulakan langkah kecil — bawa beg sendiri, gunakan bekas makanan apabila ke pasar malam atau kedai makan, kurangkan penggunaan botol plastik dan pilih produk mesra alam.


"Jika amalan ini dapat diperkukuh di Klang, antara bandar pelabuhan dan perindustrian utama, ia pasti memberi impak besar kepada seluruh negeri dan negara," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Beliau sebelum itu hadir merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di Laman Seni Safari, Klang pada Ahad.


Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dalam usaha menguatkuasakan larangan penggunaan plastik.


Namun katanya, perkara itu memerlukan kajian menyeluruh terhadap undang-undang serta mekanisme pelaksanaannya.


"Cita-cita asal 2025, tetapi terganggu sebab pandemik. Kini kita susun semula strategi, memperketat dan menambah inisiatif supaya masyarakat sendiri menolak penggunaan plastik.


"Sekiranya dilaksana, ia akan dilakukan secara berperingkat sehingga 2030," jelas beliau.


Amirudin turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperkukuh usaha dengan membentuk rangka undang-undang kecil termasuk mewajibkan sambutan Hari Tanpa Plastik melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).


"Kita akan umum pada Oktober ini. Kita akan rangkumkan pengalaman semua PBT kerana masing-masing ada peraturan sendiri, dan bengkel bersama semua PBT juga sedang dilaksanakan," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page