Selangor komited usaha wujudkan garis panduan keselamatan pelajar tahfiz
- Suara Keadilan

- Aug 22
- 1 min read

Kerajaan Selangor komited memastikan keselamatan pelajar tahfiz di negeri itu berada dalam keadaan terjamin dan selamat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) berkata, pihak Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan satu garis panduan mengenai perkara itu dan akan bekerjasama dengan jawatankuasa tetap ekonomi penjagaan bagi merangka dasar berkenaan.
"Saya akan menganjurkan satu bengkel dengan Exco Kebajikan, Anfaal Saari untuk kita bincang usaha mewujudkan garis panduan dan dasar keselamatan pelajar di institusi tahfiz di negeri ini.
"Saya yakin insya-Allah garis panduan ini jika dapat dibuat dengan cantik, pendidikan Islam di Selangor terkawal dan keselamatan anak lebih terjamin," katanya dipetik.
Dr Mohammad Fahmi menjangkakan usaha itu akan bermula minggu depan dan akan disusuli diikuti bengkel bersama pihak berkaitan.
"Sekiranya cantik garis panduan itu, ia akan diguna pakai di semua pusat tahfiz swasta dan kerajaan di Selangor," tambahnya.
Sementara itu, beliau menyeru ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mengelak secara paksa anak-anak mereka untuk dihantar ke pusat tahfiz.
"Ada segelintir ibu bapa nak perbaiki akhlak anak mereka dengan menghantar ke pusat tahfiz sedangkan anak tidak rela, hal ini yang menyumbang kepada perkara negatif seperti buli, dera dan sebagainya.
"Sebagai ibu bapa kita perlu mendengar, menasihati dan elakkan memaksa mereka," ujarnya.









Comments